Saya peminat kuih tradisonal melayu. Lebih-lebih lagi kuih lama dulu-dulu yang susah nak jumpa sekarang (Kalau ada jual pun susah nak dapat yang betul-betul sedap). Salah satunya ialah kuih Jennifer Lopez eh Kuih Lopes 😬😬. Bahan-bahannya mudah dan sedikit sahaja tapi cara membuatnya agak renyah dan kena betul. Kalau tak betul maka jadilah pulut tanak yang disalut kelapa bukan kuih lopes asli. Sesiapa yang suka dan rajin, bolehlah cuba buat nanti ya! Happy Cooking! 💕💕
KUIH LOPES
Bahan-bahan A:
500gram beras pulut (yang kualiti bagus)
1 sudu teh air kapur makan
1 sudu teh garam
Air secukupnya (untuk merendam pulut)
Bahan-bahan B:
Daun pisang secukupnya
Tali rafia
2 helai daun pandan - siat & simpul
Kelapa parut (putihnya sahaja)
Bahan-bahan C:
300gram gula melaka/gula kabung/gula apong/nise
300ml air
2 helai daun pandan - siat & simpul
1. Satukan semua bahan A di atas dan rendam semalaman. Toskan.
2. Sediakan daun pisang (cuci & layurkan sedikit) yang berukuran lebih kurang 3 inci lebar. Buat bentuk seperti kon lalu isi pulut tadi.
3. Lipat kemas menjadi bentuk segitiga kemudian ikat rapi dengan tali rafia (boleh juga guna tali yang dibuat dari pelepah pisang kering).
4. Rebus pulut tadi dengan air yang banyak selama 2-3 jam (pastikan air sentiasa cukup penuh semasa merebus pulut). Masukkan daun pandan dalam rebusan pulut. Selepas 2-3 jam, Toskan dan sejukkan.
5. Buang balutan daun pisang dan salut dengan kelapa parut + sedikit garam. Hidangkan dengan air gula merah.
6. Untuk membuat air gula merah, satukan semua bahan C lalu didihkan hingga menjadi air gula yang likat.
Enjoy! 😊😊
*kuih lopes yang sempurna bersifat kenyal/kental dan padat.
Comments
Post a Comment